AHAD, 9 OKTOBER 2022
KUCHING: Selepas 48 tahun membantu mentransformasikan landskap ekonomi dan masyarakat Sarawak dan Malaysia amnya, Cahya Mata Sarawak (Cahya Mata) kini mengorak langkah ke persada antarabangsa menerusi pelancaran logo baharu syarikat multinasional berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata, pelancaran logo dan identiti baharu itu mencerminkan kedudukan Cahya Mata sekarang sebagai sebuah syarikat multinasional yang mengembangkan sayap ke peringkat global.
Menurutnya, syarikat multinasional berkenaan juga telah mempersiapkan warga kerja di peringkat pengurusan dan operasi ke arah memacu syarikat ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita juga telah memperkasakan akauntabiliti dan integriti di semua peringkat lembaga pengarah dan pengurusan kanan bagi membina amalan tadbir urus yang lebih kukuh,” katanya semasa ‘Cahya Mata Media High Tea’ di sini pada Ahad.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Operasi Cahya Mata Shaun Mok, Ketua Kakitangan Mastura Mansor, Ketua Pegawai Komunikasi Strategik, Kanesan Veluppillai, Pemangku Ketua Pegawai Kewangan, Mukhnizam Mahmud serta tetamu jemputan lain.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, menerusi sokongan para pemain media, Cahya Mata akan merealisasikan impian untuk menjadi sebuah syarikat multinasional yang berkembang pesat dan boleh dibanggakan.-EDISI UKAS