AHAD, 9 OKTOBER 2022
MIRI: Majlis Kesyukuran dan Zikir Maulid sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 2022M/1444H telah berlangsung dengan jayanya di Masjid At-Taqwa Miri pada Ahad.
Majlis disertai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr Ripin Lamat, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Ketua Hakim Syariee Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Khalidi Ibrahim.
Setelah Azan Maghrib berkumandang dan Solat Fardhu Maghrib berjemaah selesai ditunaikan, para jemaah turut serta dalam Zikir Maulid yang dipimpin oleh Kumpulan Zikir Bahagian Miri.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan doa kesyukuran dengan dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi sebelum para jemaah menunaikan Solat Fardhu Isya’ berjemaah.
Manakala, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin turut hadir ke jamuan makan malam setelah majlis selesai.
Sementara itu, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak bakal disambut dengan meriah di Stadium Terbuka Miri pada Isnin.
Ia akan menyaksikan perarakan daripada 142 kontinjen yang antaranya melibatkan jabatan serta agensi kerajaan Sarawak dan Persekutuan, badan berkanun, pihak swasta, institusi pendidikan, masjid, surau dan pertubuhan.
Selain itu, turut diadakan persembahan Nasyid daripada Kumpulan Nasyid Wildaniey dan Kumpulan Nasyid Ad-Dhiya. -Edisi UKAS