Perdana Menteri Terima Gelaran Datuk Patinggi

AHAD, 9 OKTOBER 2022

MIRI: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P) yang membawa gelaran Datuk Patinggi pada Ahad. 

Anugerah tersebut dikurniakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu Istiadat Pengurniaan Darjah di Miri Marriot Resort and Spa. 

Dalam istiadat itu, Datuk Patinggi Ismail Sabri telah diiringi Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. 

Hadir menyaksikan pengurniaan darjah tersebut ialah isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta isteri kepada Perdana Menteri, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin.  

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Jabatan serta Dif-Dif Kehormat yang lain. 

Sementara itu, Perdana Menteri dijangka berlepas dari Miri ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat khas sekitar jam 6.00 petang. -Edisi UKAS 

add comment