Premier Sarawak Sertai Forum Perubahan Iklim Di Jepun

AHAD, 9 OKTOBER 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun mulai Isnin bagi mengambil bahagian dalam forum sebagai penceramah panel bagi menangani perubahan iklim. 

Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan media pada Ahad memberitahu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari akan berkongsi pandangannya atas jemputan Kerajaan Metropolitan Tokyo bersama-sama dengan pelbagai penceramah antarabangsa lain dalam forum bertajuk “MASA UNTUK BERTINDAK” gerakan tindakan iklim bagi mempercepatkan usaha penyahkarbonan yang berdaya maju.

Dengan matlamat penggunaan hidrogen hijau yang lebih meluas di seluruh dunia, forum ini akan berkongsi maklumat dan pengetahuan berkaitan sambil menyeru tindakan konkrit untuk mencegah ancaman krisis iklim yang semakin meningkat, kata Kerajaan Metropolitan Tokyo dalam laman webnya.

Difahamkan, forum pada 12 Oktober ini akan dimulakan dengan ucaptama oleh Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa dan diikuti dengan perbincangan panel, Fatih Birol. 

Dalam pada itu, panel lain termasuk Gabenor Tokyo Yuriko Koike, Perdana Menteri New South Wales, Australia Dominic Perrottet, Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti, Duta Besar India ke Jepun Sanjay Kumar Verma dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Kawasaki Heavy Industries, Ltd. Pengerusi Bersama, Majlis Hidrogen Yoshinori kanehana. 

Sebagai sebahagian daripada jadual perjalanan selama seminggu di Tokyo, Premier Sarawak serta delegasi akan melawat kilang Toyota Motor Corporation Motomachi dan bertemu dengan pengurusan Sumitomo Corporation.

Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Sarawak dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd dalam mengembangkan kilang pembuatan sedia ada di Zon Perindustrian Samalaju, Bintulu.

Selain itu, beliau juga turut akan bertemu dengan pegawai Kementerian Ekonomi, Perdagangan & Industri Jepun, pengurusan Marubeni Corporation dan Eneos Corporation, melawat Muzium Hidrogen Tokyo dan Stesen Hidrogen Tokyo Oi.

Premier Sarawak akan diiringi oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. -EDISI UKAS

add comment