ISNIN, 10 OKTOBER 2022
LUNDU: Lebih kurang 1,000 orang hadir bagi memeriahkan Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Bahagian Kuching.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah hadir menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan di Stadium Terbuka Lundu pada Isnin.
Semasa berucap, Billy Sujang menekankan akan kepentingan bersukan bagi mewujudkan masyarakat yang bukan sahaja cergas dan aktif, malahan memberikan kesihatan yang baik kepada pengamal aktiviti kesukanan.
Katanya, beliau amat menggalakkan agar generasi-generasi muda untuk aktif bersukan bagi meningkatkan pembangunan sukan di dalam negeri dan juga negara.
“Ini kerana penglibatan anak-anak muda dalam sukan amat diperlukan bagi mencari pelapis atlet negara di peringkat antarabangsa khususnya,”katanya.
Antara pengisian aktiviti yang diadakan seperti pertandingan Street Soccer, pertandingan memanah, persembahan seni mempertahankan diri Taekwondo dan senamrobik.
Pertandingan Street Soccer bawah 12 tahun tersebut telah dimenangi oleh SK Biawak, manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh SK Stungkor dan SK Sebiris.-EDISI UKAS