142 Kontinjen Sertai Majlis Perhimpunan & Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak

ISNIN, 10 OKTOBER 2022

MIRI: Sebanyak 142 kontinjen melibatkan 8,766 peserta telah menjayakan Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 2022M/1444H di Stadium Terbuka Miri pada Isnin. 

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, sambutan kali ini memperlihatkan penerapan unsur kerjasama padu yang telah menyumbang kepada usaha Sarawak membendung wabak COVID-19 yang menular sejak dua tahun lepas. 

Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

Antara yang hadir sama ialah isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.

Penyertaan kontinjen pada tahun ini melibatkan pelbagai kategori termasuk jabatan kerajaan dan kumpulan berpakaian seragam bagi kerajaan Sarawak dan Persekutuan (Kategori A), badan berkanun (Kategori B), institusi kewangan, swasta dan syarikat (Kategori C), masjid, surau dan kumpulan Hadrah (Kategori D) , Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, kelab dan pertubuhan (Kategori E), institusi pengajian tinggi awan dan swasta (IPTA & IPTS),  pusat kemahiran dan sekolah menengah (Kategori F) dan sekolah kebangsaan (Kategori G). 

Turut dipertandingkan ialah Kategori H iaitu satu kategori khas bagi sambutan kali ini. 

Para kontinjen telah berarak sejauh 3.6 kilometer yang bermula dari Stadium Miri dan seterusnya melintasi Jalan Bintang, Jalan Merdu, Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Nakhoda-Gampar, Jalan North Yu Seng, Jalan Merpati, Bulatan Kipas, sebelum kembali ke Jalan Bintang dan akhirnya tamat di Stadium Miri. 

 Dalam pada itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi telah menyempurnakan penyerahan hadiah kepada para pemenang untuk setiap kategori. 

Untuk rekod, johan bagi Kategori A ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Kategori B dimenangi Lembaga Pelabuhan Miri; Kategori C dirangkul Badan Kebajikan Islam TM (BAKTI); dan Surau Darul Mukmin Kampung Riam Jaya dinobatkan johan bagi Kategori D. 

Manakala Kategori E dimenangi Majlis Ketua Masyarakat Melayu Miri, Kategori F dirangkul Sekolah Menengah Lutong, Kategori G dijuarai Sekolah Kebangsaan Anchi; dan Kategori H disandang Orang Ulu National Association (OUNA). -Edisi UKAS 

add comment