ISNIN, 10 OKTOBER 2022
SERIAN: Malam kemuncak Pesta Danu Serian 2022 dihangatkan dengan Aziza Aznizan dinobatkan sebagai juara pertandingan Miss Tourism Danu Serian 2022.
Menerusi kejayaan itu, Aziza membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 selain dinobatkan selaku Miss Photogenic, Miss_Talent, Best Catwalk Award dan menerima wang tunai RM200 setiap kategori.
Naib Juara pula disandang Gillian Octavia dengan membawa pulang wang tunai RM1,500 dan dinobatkan selaku Miss Popular dan Special Choice Award dan menerima RM200 setiap satu.
Tempat ketiga dimenangi oleh Julia Christ Ivy dengan hadiah wang tunai RM1,000 dan dinobatkan selaku Best Dress Award untuk hadiah RM200.
Tiga pemenang teratas juga menerima selempang, piala, bunga, barangan kecantikan Mary Kay dan voucher penginapan di Roxy Hotel.
Manakala peserta tempat keempat dan kelima berjaya membawa pulang wang tunai RM700 dan RM500 berserta selempang dan barangan Mary Kay.
Sementara itu, Duta Khas Perdana Menteri ke Jepun, Republik Korea dan Taiwan merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem menyempurnakan majlis penangguhan Pesta Danu Serian 2022 di Stadium Mini Serian pada Ahad.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pasukan Petugas Pelancongan Bahagian Serian yang dipimpin oleh Residen Bahagian Serian, Selamat Jati Yanjah.
Tidak dilupakan, beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua wakil rakyat dan para petugas yang terlibat menjayakan penganjuran Pesta Danu Serian 2022.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Pegawai Daerah Serian, Lim Hock Meng, Setiausaha Majlis Daerah Serian, Constantine Gerald Jonas Noeb, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS