Kabinet Sarawak Lulus Penubuhan Majlis Daerah Gedong

ISNIN, 10 OKTOBER 2022

GEDONG: Kabinet Sarawak telah meluluskan untuk menubuh Majlis Daerah Gedong dalam satu mesyuarat pada tiga minggu yang lepas.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, penubuhan Majlis Daerah ini akan membantu Kerajaan untuk melaksanakan pembangunan yang telah dirancang.

“Kita akan mula membangunkan kawasan baru di Gedong ini iaitu di Seberang Sungai dan ia akan terus menjurus kepada Ulu Gedong terus ke Simunjan, Kota Samarahan, Sebuyau, Lingga dan kawasan persisirannya.

“Jadi ini adalah pendekatan kerajaan kerana kita berteraskan kepada membawa rahmat kepada daerah-daerah ini,” katanya semasa Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong di sini pada Isnin.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong telah berkongsi sejarah Islam iaitu mengenai Piagam Madinah yang menjadi asas untuk menubuhkan satu pemerintahan yang adil dan saksama.

Beliau menjelaskan, di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW, Baginda telah menyatukan masyarakat di Madinah yang mempunyai beberapa perbezaan dengan memberi keadilan kepada mereka.

“Kita tahu dalam sejarah Islam, Baginda telah berhijrah daripada Mekah ke Madinah.

“Masyarakat di Madinah adalah masyarakat yang berbilang khalifah dan kepercayaan maka timbullah masyarakat mujahirin dan ansar dengan kepercayaan masing masing tetapi Rasullah SAW telah dapat menyatukan kabilah ini yang mempunyai beberapa perbezaan dan disatukan sebagai satu masyarakat yang penuh bersatu.

“Ini sejarah Islam dan apabila perpaduan kukuh, maka ajaran Islam telah berkembang yang berteraskan kepada Al-Quran dan menjadi ikatan yang kuat di kalangan umat Islam itu sendiri dan juga mendapat ilmu, untuk mencari ilmu sudah mnjadi budaya asas yang telah digerakkan oleh Nabi Muhammad SAW,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Premier Sarawak bersama dengan wakil daripada 15 kontinjen berarak dari Rumah Rehat Sri Gedong ke Dewan Datuk Patinggi Ali.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong Dato’ Sri Nancy Shukri, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 2022 yang juga bekas ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais, ADUN Simunjan Awla Dris, Residen Bahagian Samarahan Datu Brahim Lumpu, Pegawai Daerah Gedong Khalid Manap dan Temenggong Bahagian Samarahan Chek Bujang.

Dalam majlis sama, Premier Sarawak telah menyempurnakan penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan yang telah diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul di situ. -EDISI UKAS

add comment