Perdana Menteri Bubar Parlimen Ke-14 Hari Ini

ISNIN, 10 OKTOBER 2022

KUALA LUMPUR: Teka teki mengenai pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akhirnya terjawab setelah Perdana Menteri Malaysia, Dato’Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran parlimen penggal ke-14 negara secara rasmi pada Isnin, 10 Oktober 2022.

Perdana Menteri mengumumkan pembubaran itu dalam satu sidang media khas di sini.

Berikutan itu, beliau mengesyorkan agar kerajaan-kerajaan negeri kecuali Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor untuk bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak pada tarikh yang sama dengan PRU peringkat parlimen agar rakyat tidak terbeban dan penamaan calon boleh dibuat dengan serta-merta.

Katanya, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Selaras dengan perkara 40(2)(b) dan perkara 55(2) perlembagaan persekutuan, kebawah duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya parlimen ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 oktober 2022.

“Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat,”katanya.

Menurut Dato’ Sri Ismail Sabri lagi, pembubaran berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan ini dilaksana bagi menepis dakwaan pihak yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Justeru, beliau berharap agar rakyat menggunakan kuasa yang ada, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023 di samping mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

Terdahulu, Dato’ Sri Ismail Sabri telah mengadap yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah pada Ahad untuk mendapatkan perkenan bagi pembubaran parlimen dibuat supaya melancarkan lagi proses PRU ke-15 dijalankan. -EDISI UKAS

add comment