Rakyat Perlu Sebuah Kerajaan Persekutuan Yang Dinamik & Progresif Selepas PRU-15

ISNIN, 10 OKTOBER 2022

KUCHING: Rakyat memerlukan sebuah kerajaan Persekutuan yang dinamik dan progresif dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, ini penting supaya kerajaan Persekutuan yang terbentuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi serta kebajikan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan, rakyat sudah tidak mahu lagi mendengar atau melihat polemik-polemik politik yang hanya bertumpu tentang perebutan kuasa dan pangkat.

“Saya yakin warga Malaysia mahu sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan berjiwa besar berkiblatkan memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta membina pembangunan negara ke arah yang lebih maju dan moden,” katanya kepada UKAS pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari semalam (Ahad) bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen ke-14.

Dalam pada itu, Datuk Abdullah Saidol memberitahu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membuat persiapan menghadapi PRU-15 sejak beberapa bulan lepas selepas menjangka pembubaran Parlimen akan berlaku pada tahun ini.

Jelas beliau, semua ADUN GPS telah menerima arahan untuk mengaktifkan Bilik Gerakan Piliha Raya masing-masing untuk membantu kempen calon kerusi Parlimen GPS.

“Misi kami ialah untuk memastikan wakil GPS yang lebih besar di Dewan Rakyat (Parlimen).

“Ini adalah untuk memastikan kedudukan GPS lebih kukuh di Parlimen bagi meneruskan perjuangan kita dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hak dan kepentingan Sarawak,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Abdullah Saidol menegaskan, GPS menyedari cabaran utama kempen bagi PRU-15 kelak adalah keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Di Sarawak, PRU-15 hanya melibat kerusi Parlimen, namun, di dalam kita membuat persediaan, kita telah mengambil langkah-langkah tertentu supaya kempen kali ini tidak menyusahkan rakyat di mana calon dapat berjumpa melalui cara aktiviti-aktiviti mikro dan membuat penerangan kepada rakyat.

“Begitu juga ketika hari mengundi nanti juga, langkah-langkah berjaga-jaga dan langkah-langkah yang lebih aktif perlu diambil untuk memastikan lebih ramai pengundi berdaftar dapat keluar mengundi dalam keadaan selesa dengan melakukan persediaan dari segi logistik dan sebagainya,” jelasnya.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Tempoh mandat kerajaan sepatutnya berakhir pada Julai 2023.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen. -EDISI UKAS

add comment