Teladani Inisiatif & Strategi Dilaksana Rasulullah SAW Sebagai Panduan Pentadbiran

ISNIN, 10 OKTOBER 2022

LAWAS: Kerajaan Malaysia termasuk Kerajaan Sarawak menjadikan inisiatif dan strategi yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai teladan untuk panduan pentadbiran.

Residen Bahagian Limbang Sebi Abang berkata, Inisiatif dan insentif diperkenalkan dan dirancang khusus oleh Kerajaan Sarawak dan Malaysia demi memastikan tidak ada keluarga yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara. 

“Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan Rasul untuk menjadi suri teladan dan rahmat kepada seluruh umat manusia.

“Baginda menjadi ketua negara atau khalifah kepada semua agama dan bangsa pada ketika itu dan membina Madinah dengan menggariskan dasar serta polisi yang jelas untuk mencapai dan mengukuhkan kestabilan negara dan telah diterima baik oleh seluruh penduduk Madinah pada waktu itu tanpa mengira agama dan bangsa dan seterusnya mengatur hubungan antara masyarakat supaya hidup dalam keadaan saling menghormati, bertanggungjawab dan seterusnya menyatu padukan seluruh masyarakat untuk keselamatan, kestabilan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan serta mengutamakan kebajikan seluruh umat di Madinah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mewakili Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul  Peringkat Daerah Lawas 2022 di Taman Awam Lawas pada Ahad.

Sebi menambah, Rasulullah SAW juga memastikan agar hasil negara dirasai dan disampaikan kepada seluruh penduduk secara adil dan saksama.

Selain itu katanya, Baginda juga sentiasa menggalakkan penduduk Madinah untuk memajukan sektor pertanian dan perniagaan sebagai sumber ekonomi pada waktu itu.

Terdahulu, perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Lawas telah diadakan dengan penyertaan sebanyak 64 kontinjen yang terdiri daripada Jabatan, Badan Berkanun, Masjid dan Surau peringkat Kampung, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah, Persatuan, Kelab, Badan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat dan institusi.

Dalam majlis berkenaan, Sebi telah menyampaikan hadiah serta saguhati berupa piala dan wang tunai kepada para pemenang bagi empat kategori sepanduk dan perarakan pembarisan yang dipertandingkan kepada kontinjen yang mengambil bahagian.

Turut disampaikan, Tokoh Wanita peringkat Daerah Lawas kepada Fatimah Abdul Hamid manakala Tokoh Lelaki kepada Mohamed Jalil.

Hadir sama dalam majlis sambutan itu ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Zainal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Hal Ehwal Islam Daerah Lawas Asikurahaman Othman, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Sheik Hadzrei Adam Seberi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latip dan Pemanca Rosli Majid.-EDISI UKAS

add comment