Banjir: Tinjauan Dilakukan Di Daerah Subis, Kenalpasti Kawasan & Penduduk Perlu Dipindah Ke PPS

SELASA, 11 OKTOBER 2022

MIRI: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni telah melakukan tinjauan ke beberapa kawasan di Daerah Subis pada Isnin bagi mengenal pasti kawasan yang terjejas banjir dan penduduk yang perlu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Lawatan berkenaan dilakukan bersama dengan Jawatankuasa Daerah Subis yang diketuai oleh Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Bekenu dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Batu Niah.

Kawasan-kawasan yang ditinjau ialah Bekenu asli, Jenggalas, Kampung Kelapa, Kampung Dagang, Bekenu, Kampung Masjid Tiris, Kampung Tunah, Saeh, Sepupok, Niah, Kampung Dagang Niah, Kampung Muhibbah Niah, Kampung Padang Niah dan Kampung Masjid Niah.

Pada masa yang sama, penduduk juga dinasihatkan untuk sentiasa melaporkan keadaan semasa kepada ketua kaum di kawasan atau kepada pegawai di bilik operasi bencana Subis agar langkah seterusnya dapat diambil dengan kerjasama semua agensi yang terlibat.

Setakat Isnin, sebanyak 43 buah kampung dan rumah panjang di Daerah Subis telah terjejas yang melibatkan seramai 13,265 penduduk.

Selain itu, sebanyak tiga buah PPS dibuka iaitu di Dewan Masyarakat Sepupok Niah yang kini menempatkan seramai enam mangsa terjejas, Dewan Masyarakat Bekenu menempatkan 19 mangsa dan Dewan Serbaguna tiada mangsa ditempatkan yang mana ia dibuka sebagai persediaan awal.

Terdapat juga beberapa kawasan yang dilihat paras air surut, namun langkah berjaga-jaga masih lagi ditekankan kepada penduduk agar sentiasa melaporkan situasi semasa untuk makluman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Subis.-EDISI UKAS

add comment