SELASA, 11 OKTOBER 2022
MIRI: Kenyalang Journalism Awards (KJA 2022) bakal diadakan pada 9 Disember depan di Imperial Hotel di sini dengan sebanyak 458 penyertaan diterima daripada pemain media Sarawak.
Presiden Federation of Sarawak Journalist Association (FSJA) Miri yang juga Ahli Jawatankuasa KJA, Andy Jong berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg akan menyempurnakan Majlis Anugerah KJA 2022 serta menyampaikan Anugerah Premier Sarawak.
Menurutnya, penyertaan kategori penyiaran menerima sambutan terbanyak dengan sebanyak 127 penyertaan.
“Sebanyak 11 kategori kekal dipertandingkan di KJA 2022 dan Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2022 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM250,000.
“Kategori lain termasuk Anugerah Premier Sarawak, Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Penulisan Berita), Anugerah Laporan Berita, Anugerah Berita Sukan, Anugerah Ekonomi Digital, Anugerah Kewartawanan Penyiaran, Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti, Anugerah Laporan Kelestarian, Anugerah Laporan Ekonomi dan Perniagaan, Anugerah Kewartawanan Foto dan Anugerah Esei Foto,” katanya.
Tambah Andy, sejak tahun 2015, kerajaan Sarawak telah menjadi penaja utama penganjuran, selain barisan penaja emas iaitu Shell, Petronas dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menyumbang RM50,000 masing-masing.
Malaysia Press Institute (MPI) akan mengambil masa untuk membuat penghakiman penyertaan dan kerja-kerja penilaian sedang dijalankan. -EDISI UKAS