SELASA, 11 OKTOBER 2022
BAKUN: Sarawak akan turut serta dalam Sidang Kemuncak Penggubal Undang-undang COP27 Globe yang akan berlangsung di Mesir November ini.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, Kerajaan Sarawak akan melihat penglibatan negara-negara lain akan meningkatkan perubahan iklim.
Jelas beliau, daripada 198 buah negara ahli dalam COP27 yang akur kepada Perjanjian Paris hanya 119 buah negara sahaja yang mempunyai pelan dalam mengurangkan karbon sehingga tahun 2050.
“Untuk Sarawak, kita akan menjalankan pemasaran industri hidrogen.
“Ini kerana hidrogen kita jenis premium di mana kuasanya dikeluarkan daripada hidro. Itu adalah hidro yang mempunyai kualiti yang paling tinggi dibandingkan dengan hidrogen yang dikeluarkan negara-negara lain yang tidak menggunakan kuasa hidro seperti arang batu, nuklear dan sebagainya. Ini adalah kekuatan untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas hadir di Majlis Memperingati Hari Tenaga Hidro Global di Empangan Hidroelektrik Bakun pada Selasa.
Bertemakan “Kita Boleh Dengan Tenaga Hidro”, acara itu bertujuan untuk mempamerkan faedah kuasa hidro terutamanya apabila dibangunkan dan dikendalikan secara bertanggungjawab dan mampan, melalui satu siri acara dan inisiatif maya dan fizikal yang dianjurkan serentak di seluruh dunia.
Mengulas mengenai Hari Tenaga Hidro yang disambut buat julung kalinya diadakan serentak di seluruh dunia pada tahun ini, Dr Hazland menjelaskan fokus utama Kerajaan Sarawak adalah berkenaan perubahan iklim.
Jelas beliau, hanya dengan melestarikan alam sekitar akan dapat mengurangkan kesan perubahan iklim di seluruh dunia.
“Cara untuk melestarikan alam sekitar ada pelbagai cara iaitu melalui kitaran semula, sekular ekonomi dan tenaga yang boleh diperbaharui iaitu kuasa hidro.
“Kita mempunyai sungai yang besar, hujan yang banyak dan mempunyai teknologi di mana kita sekarang disegani negara-negara di rantau ini. Itu adalah kekuatan Sarawak,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Ir Bunyak Lunyong, Naib Presiden Kanan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Marconi Madai, Naib Presiden Hydro Ir Polycarp Wong dan Pengurus Stesen HEP Bakun Jonny Wong.-EDISI UKAS