RABU, 12 OKTOBER 2022
BINTULU: Kerajaan Sarawak sudah bersiap sedia untuk menghadapi bencana banjir dan pasang besar akibat Monsun Timur Laut yang sudah bermula sekarang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu Kerajaan Sarawak sudah melakukan persiapan awal dari segi pusat pemindahan serta sebarang bentuk bantuan lain yang diperlukan bagi menghadapi bencana alam yang berlaku.
“Kerajaan Sarawak sudah mengenalpasti pusat-pusat pemindahan buat mangsa terjejas banjir yang mana operasi pemindahan dan penyelamatan akan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berserta agensi berkaitan lain di setiap daerah atau bahagian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBBB) di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS yang telah menyumbangkan empat unit bot berserta enjin sangkut, 1,000 unit khemah boleh lipat, 700 unit jaket keselamatan dan 7,000 unit baju hujan.
Katanya lagi, JPBBB sudah bersiap sedia sepenuhnya bagi menjalankan operasi pemindahan serta penghantaran bantuan makanan buat mangsa terjejas.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Asean Bintulu Fertilizer Sdn Bhd Aslam Khan Mohater Khan dan Pengarah Bomba Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad. – EDISI UKAS