RABU, 12 OKTOBER 2022
TOKYO: Kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui telah memberi kelebihan kepada Sarawak untuk menarik pelabur asing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan asing bagi potensi kuasa hidro yang besar dalam menghadapi krisis perubahan iklim dan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui atau hijau.
Jelasnya, penjanaan tenaga hidro berkapasiti 3,452MW membolehkan Sarawak menyediakan tarif paling kompetitif di rantau ini.
“Ia juga akan memberi kelebihan kepada Pertama Ferroalloys kerana produk mereka akan mempunyai kelebihan berbanding produk lain yang serupa yang dihasilkan menggunakan bahan api fosil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pertama Ferroalloys Sdn. Bhd. dan Kerajaan Sarawak di Tokyo, Jepun pada Isnin.
MOU tersebut adalah selaras dengan hasrat Ferroalloys untuk mengembangkan kemudahan peleburan ‘ferroalloys’ dan ‘ferrosilicon’ sedia ada di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu yang merupakan kemudahan pertama di Malaysia dan bakal menyaksikan pelaburan sebanyak USD600 juta.
Di samping itu, Premier Sarawak dan rombongan ke Jepun adalah untuk mengadakan lawatan selama seminggu bagi mengambil bahagian dalam forum hidrogen yang dianjurkan oleh Kerajaan Metropolitan Tokyo.
Forum diadakan pada Selasa yang bertajuk “Masa untuk Bertindak” itu merupakan usaha bagi perubahan iklim yang bertujuan untuk meneroka penggunaan hidrogen dengan lebih luas sebagai bahan api bukan fosil dan bebas pelepasan.
Sementara itu, Premier Sarawak merakamkan penghargaan kepada Pertama Ferroalloys yang memutuskan untuk mengembangkan kilangnya ke Samalaju sekaligus memperkenalkan inisiatif sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat khususnya dalam pembangunan sumber manusia.
Justeru itu, Premier Sarawak mencadangkan agar pengurusan syarikat itu berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan program termasuk pembiayaan biasiswa kepada pelajar Sarawak melalui Yayasan Sarawak untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang terpilih.
Mengulas mengenai urusan permit bekerja, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk memberikan permit lima tahun kepada ekspatriat khususnya jurutera dan saintis untuk memudahkan urusan bekerja mereka dan menyumbang kepada pembangunan.
Pengerusi Asia Minerals Limited dan PERTAMA Ferroalloy Sdn Bhd, Hirotaka Suzuki turut memberitahu, 1,000 kakitangan dan pekerja di mana 90 peratus adalah penduduk tempatan bakal diberikan peluang selepas pelaksanaan mengembangkan kilang mereka selesai.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Dato Husain dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia, Tokyo, Nor’Azam Mohd Idrus.
Terdahulu, Premier Sarawak menerima kunjungan hormat daripada Marubeni Corporation iaitu sebuah lagi syarikat Jepun yang memberikan taklimat mengenai operasi syarikat itu dan bidang berpotensi untuk bekerjasama dengan Sarawak. -EDISI UKAS