Realisasi Visi Jadi Hub Hidrogen

KHAMIS, 13 OKTOBER 2022

KUCHING: Sarawak berada dalam landasan baik untuk menjadi pengeluar dan pembekal hidrogen hijau utama di rantau Asia  menjelang tahun 2028. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, langkah dan tindakan berkaitan diambil untuk merealisasikan visi Sarawak menjadi hub hidrogen di rantau berkenaan.

Menurutnya, perbincangan telah diadakan bersama dengan pemain industri besar dari Jepun dan Korea yang komited berkolaborasi dengan Sarawak berkaitan pengeluaran hidrogen untuk menjana kuasa industri bagi negara  itu. 

“Dengan adanya kekuatan dari segi tenaga boleh diperbaharui, Sarawak berada dalam landasan baik untuk menjadi pengeluar dan pembekal hidrogen hijau utama di rantau tersebut menjelang tahun 2028,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel ketika menjawab soalan moderator forum di Forum Hidrogen Tokyo yang dianjurkan oleh Kerajaan Metropolitan Tokyo di Jepun pada Rabu. 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menjelaskan, usaha bersepadu perlu diambil oleh komuniti global dalam menangani ancaman krisis perubahan iklim yang turut menjurus kepada fenomena corak cuaca yang tidak dapat diramalkan. 

Tambahnya lagi, dalam memainkan peranannya ke arah usaha tersebut, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan dasar-dasar sejajar dengan protokol perubahan iklim sedunia yang direka untuk tujuan penyahkarbonan. 

“Sudah tiba masa untuk Sarawak bersama dengan seluruh dunia untuk bertindak ke arah peralihan tenaga demi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti ditetapkan oleh protokol Paris,” tegasnya. 

Sementara itu beliau berkata, SEDC Energy Sarawak sedang berunding dengan Sumitomo Corporation dan Eneos Corporation dari Jepun di bawah Projek Hornbill di mana hidrogen hijau melalui methylcyclohexane (MCH) disasarkan berada dalam aliran menjelang 2028.

“Sarawak juga sedang berunding dengan Samsung, Posco dan Lotte dari Korea di bawah Projek Hibiscus untuk urusan pembelian semula dalam bentuk ammonia,” ujarnya. 

Berhubung pengalaman Sarawak berkaitan hidrogen pula, Premier Sarawak memberitahu, inisiatif tersebut bermula dengan kemudahan pengeluaran hidrogen perintis pada 2016 di bawah Sarawak Energy Berhad (SEB) yang membekalkan gas untuk menjalankan bas hidrogen dan kereta di Kuching.

Forum Hidrogen Tokyo berbentuk hibrid itu turut disertai wakil serta barisan ahli panel dari pelbagai negara lain. 

Terdahulu, Premier Sarawak serta delegasi beliau telah melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Tokyo, Yuriko Koike di pejabatnya. 

Antara turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain serta Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman. 

Pada awal Rabu pula, delegasi tersebut mengadakan lawatan ke Stesen Hidrogen Tokyo Oi dan kemudian ke Muzium Hidrogen Tokyo. -Edisi UKAS

add comment