RABU, 12 OKTOBER 2022
KAPIT: Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) telah menubuhkan sembilan jawatankuasa kecil bagi menangani isu dan cabaran mempercepatkan pembangunan sosioekonomi di rantau ini.
Pengerusi URDA, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata jawatankuasa kecil itu akan diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di rantau tersebut.
Menurutnya, jawatankuasa kecil berkenaan adalah infrastruktur dan keselamatan; pertanian, penternakan dan perikanan; pelancongan, seni dan budaya; perhutanan dan kelestarian alam sekitar; pembangunan masyarakat dan hal tanah; pendidikan dan kesihatan; utiliti dan telekomunikasi; pembangunan industri dan usahawan; dan belia, sukan dan latihan teknikal.
“Penubuhan jawatankuasa kecil ini telah dipersetujui dalam mesyuarat lembaga pengarah URDA ke-4 yang diadakan pada hari ini (Selasa) dan dipengerusikan oleh saya sendiri.
“Semasa mesyuarat tersebut, saya mengambil alih tampuk kepimpinan mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing.
“Selain itu, Timbalan Pengerusi URDA juga telah dilantik hari iaitu Datuk Liwan Lagang,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat ke-4 URDA di Kompleks Kerajaan Negeri, Kapit pada Selasa.
Jelas Dato Sri Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mesyuarat tersebut turut memfokuskan terhadap pembentangan status semasa projek yang sedang dilaksanakan di bawah URDA.
Katanya, terdapat enam projek di URDA telah siap dilaksanakan, 25 sedang dalam pelaksanaan dan 11 lagi masih dalam peringkat perancangan.
Selain itu jelasnya, terdapat projek yang perlu dinilai semula pelaksanaannya akibat beberapa kekangan.
Jelasnya lagi, URDA yang ditubuhkan pada 2017 telah diperuntukkan dengan sejumlah RM1.5 bilion oleh kerajaan Sarawak untuk melaksanakan 42 projek infrastruktur dan sosioekonomi di bawah agensi berkenaan.
“Kita telah menggunakan hampir keseluruhan dana pertama tersebut untuk projek-projek infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air.
“Namun kini sudah tiba masanya juga untuk membantu dan memperkasakan ekonomi rakyat dari sudut menyediakan program sosioekonomi kepada mereka.
“Ini penting agar dalam tempoh masa yang singkat, kita dapat membantu masyarakat tempatan dalam URDA, penduduk rumah panjang dalam kampung-kampung mula melibatkan diri dalam program dan aktiviti sosioekonomi sekaligus membantu meningkatkan pendapatan keluarga.”
Ujarnya, inisiatif itu juga sebahagian daripada Program Pembasmian Kemiskinan Kebangsaan selain membantu dalam menyediakan taraf hidup yang lebih baik dalam kawasan URDA.
Dedahnya lagi, pelan pembangunan sosioekonomi (SEDP) telah disiapkan oleh Koridor Wilayah Lembaga Pembangunan (RECODA).
“Pelan dengan pendekatan dari bawah ke atas telah dikenalpasti peluang untuk rakyat mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti sosio-ekonomi untuk meningkatkan pendapatan mereka dengan pelaburan sektor swasta yang lebih besar untuk pertumbuhan ekonomi dalam kawasan URDA.”
Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai, ADUN Ngemah Anyi Jana, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Katibas Lidam Assan, ADUN Machan Allan Siden Gramong, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datu Ismawi Ismuni dan Residen Bahagian Kapit Nyurak Keti. – EDISI UKAS