Miri Country Music Festival 2022 Dijangka Tarik Lebih 2,000 Pengunjung

JUMAAT, 14 OKTOBER 2022

MIRI: Miri Country Music Festival (MCMF) 2022 akan kembali diadakan di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini pada 25 dan 26 November depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dam Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival berkenaan dijangka akan menarik lebih 2,000 pengunjung yang disasarkan pihak penganjur.

“Festival muzik ini akan menampilkan pemuzik Malaysia yang turut menampilkan bakat Miri sendiri termasuk Lyia Meta, Mountain Wind, Country Road Band dan Sessions: The Band.“Pemuzik antarabangsa seperti Tantowi Yahya, Johnny Loda Trio dan Ramon Cedillo juga akan melakukan persembahan.

Tidak lupa juga Cambodia Country Band dan Kamal Bukhary,” katanya dalam satu sidang media di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini pada Khamis.

Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menambah, selain daripada muzik, pihak penganjur festival berkenaan juga akan mengadakan kejohanan golf yang mana kira-kira 160 pemain golf disasarkan untuk terlibat.

Selain itu katanya lagi, turut diadakan kelak ialah inisiatif Tanggungjawab sosial korporat (CSR) “The Buku Project”, dimana buku akan dikumpulkan daripada orang ramai dan dihantar ke dua buah sekolah luar bandar di Long Lama dan Long Latei.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengasas MCMF Gracie Geikie, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor, dan Ketua Pegawai Eksekutif Eastwood Valley Golf & Country Club Kr. Kueh Chie Tiong.-EDISI UKAS

add comment