Parking Hadapan SMK Deshon Atasi Kesesakan Lalu Lintas

SABTU, 15 OKTOBER 2022

SIBU: Pembinaan parkir hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Deshon bakal atasi kesesakan lalu lintas.

Masalah kesesakan lalu lintas di hadapan SMK Deshon akan dapat diatasi dengan terbinanya empat parkir di hadapan sekolah itu bagi kegunaan para ibu bapa meletakkan kenderaan sementara menunggu anak-anak pulang sekolah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Michael Tiang Ming Tee, kerja-kerja membina tempat parkir itu merupakan salah satu projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) beliau bagi tahun 2022.

Pada Disember tahun lepas, beliau telah memasukkan projek tersebut dalam projek RTP DUN Pelawan dan menyerahkan surat kepada pihak kontraktor untuk memulakan kerja pada Jumaat. 

Micheal Tiang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II juga menjelaskan banyak lagi projek RTP yang akan disalurkan kepada SMK Deshon untuk faedah guru dan juga pelajar.

Jelasnya lagi, selepas ini pihaknya akan membuat kawasan pejalan kaki berbumbung dan pintu masuk baharu sekolah oleh kerana sebelum ini beliau menerima banyak aduan mengenai kesesakan lalulintas di hadapan sekolah yang turut memberi kesan kepada perniagaan di kawasan berhampiran.

Dibina dengan kos RM175,000 serta mengambil masa sebulan untuk disiapkan, beliau menjelaskan kawasan parkir itu akan dikecualikan daripada bayaran parkir selepas diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

Dalam pada itu, Micheal Tiang juga mengingatkan pemilik kenderaan panjang seperti lori dan trak agar tidak menyalahgunakan tempat parkir itu untuk kepentingan mereka meskipun tempat parkir ini untuk kegunaan semua.

Turut hadir Pengerusi MPS Clarence Ting, Pengetua SMK Deshon Tan Kim Hock dan pemilik Gendie Enterprise Gendie Anyau.-EDISI UKAS 

add comment