Pastikan Betong Terus Kekal Dengan GPS, Jamin Pembangunan Berterusan

AHAD, 16 OKTOBER 2022

SPAOH: Warga Betong akan dapat mengharapkan lebih banyak pembangunan buat kawasan mereka selepas Betong terus berada di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, Agenda Pembangunan Bahagian Betong dengan dana RM1.5 bilion yang diperuntukkan kini giat merangka pelan untuk memaju serta memakmurkan lagi bahagian tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyeru para pengundi untuk memastikan Betong kekal menjadi kubu kerajaan GPS yang tidak dapat ditembusi.

“Pihak pembangkang pernah cuba untuk memenangi kerusi Betong pada pilihan raya-pilihan raya yang lepas, namun usaha mereka telah ditolak,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian sebelum memberikan geran berjumlah RM300,000 kepada barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita dari 94 rumah panjang dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban di Rumah Mendit Unsu, Penom, Spaoh pada Sabtu.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dr Richard Rapu, Pegawai Daerah Betong, Alfred Geling dan Temenggong Richard Mulok.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah mengingatkan pemimpin masyarakat tempatan agar melapor kepada wakil rakyat di kawasan masing-masing mengenai sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

“Setiap wakil rakyat sememangnya berkehendakan projek-projek dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Apabila berlaku kelewatan, ianya merumitkan usaha kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat,’’ ujarnya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menambah, memandangkan musim monsun timur laut yang akan datang, pemimpin tempatan juga perlu melapor jikalau berlakunya sebarang kerosakan jalan raya atau jambatan mahupun hakisan tanah.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerja-kerja membaiki sebahagian daripada Jalan Ulu Luban yang terjejas akibat lubang benam akan dilaksanakan pada Ahad. -Edisi UKAS

add comment