Jalan Runtuh Di Beraya & Kampung Terahad Akan Diperbaiki Dalam Tempoh 10 Hari

ISNIN, 17 OKTOBER 2022

MIRI: Jalan raya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Beraya dan Kampung Terahad dalam kawasan Parlimen Sibuti akan diperbaiki dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 10 hari.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengendalikan usaha itu akan turut membina laluan sementara untuk pengguna motorsikal.

Beliau berkata demikian semasa membuat tinjauan kawasan tanah runtuh itu pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga ADUN Lambir, Dr Ripin Lamat dan bekas Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni.

Datuk Amar Douglas menambah kejadian itu berlaku susulan musim Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Lukanisman berkata, satu kajian dan reka bentuk jalan tersebut akan diteliti untuk memastikan jalan yang dibina pada masa depan akan lebih selamat.

Jalan tersebut merupakan jalan utama bagi penduduk di beberapa buah rumah panjang dan kampung selain sekolah termasuk menjadi laluan alternatif bagi penduduk Bakong dan Telang Usan ke Miri.-EDISI UKAS

add comment