Kerajaan Cadang Bulan Oktober Setiap Tahun Sebagai Bulan Malaysia Sihat Sejahtera

ISNIN, 17 OKTOBER 2022

MIRI: Sarawak kini menuju ke arah negeri yang lebih bersih, hijau, sihat, selamat dan ceria dnegan mengadakan acara-acara berbentuk aktiviti fizikal dan sukan.

Untuk itu, menurut Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, setiap masyarakat mempunyai peranan dalam membudayakan aktiviti fizikal dalam kehidupan.

Justeru, kerajaan mahu menjadikan bulan Oktober bermula tahun ini sebagai Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS). 

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhasrat menjadikan bulan Oktober sebagai Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) supaya semangat budaya hidup sihat dapat diperkukuhkan dalam kalangan rakyat kita. 

“Bulan Oktober juga terdapat sambutan hari-hari khas lain yang bersolidariti dengan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera antaranya, Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober, Hari Sukan Negara dan Hari Berjalan Sedunia yang kesemuanya mempromosikan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat,” katanya. 

Beliau berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian merasmikan Pelancaran Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 dan Miri Car Free Day Bersempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Miri di Permaisuri Imperial City Mall dan Wireless Walk Miri pada Sabtu. 

Terdahulu, pada 29 September lepas, telah disambut Hari Jantung Sedunia yang bertemakan “Hargai Jantung Sayangi Kehidupan” bagi memupuk kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan jantung.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu kerajaan melalui KKM juga telah mengangkat Rang Undang- Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi mengawal selia semua jenis produk merokok di Malaysia termasuk rokok elektronik dan vape. 

Jelasnya, satu peruntukan khusus berkaitan larangan menjual, membeli dan menggunakan produk merokok kepada generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, yang dikenali sebagai Generational Endgame atau GEG juga telah diperjuangkan. 

“Kita amat bersyukur bahawa Rang Undang-Undang (RUU) ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), badan profesional, ibu bapa dan guru serta anak-anak daripada golongan GEG sendiri. 

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga telah meneliti segenap aspek peruntukan Rang Undang-Undang ini. 

“Inilah perjuangan seluruh rakyat Malaysia supaya menjadi satu keluarga besar yang sihat, selari dengan objektif BMSS ini,” jelasnya. 

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Miri mewakili Dr. Ooi Choo Hock, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, wakil Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam) Aziman Mahdi,Timbalan Pengarah Hospital Miri Dr. Francis Heng Eng Khai, wakil Pegawai Pergigian Bahagian Miri Dr. Franklin Richard Seling, Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Abdul Rahman Taupek dan wakil Residen Bahagian Miri Nur Izzah Jaffri. -EDISI UKAS

add comment