Pertingkatkan Perkhidmatan Kemahiran & Rawatan Kanak-Kanak Istimewa

ISNIN, 17 OKTOBER 2022

MIRI: Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) diwujudkan sebagai satu strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial Orang Kurang Upaya (OKU). 

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, melalui PDK juga usaha bersepadu OKU, keluarga, komuniti dan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, vokasional dan sosial akan dapat dilaksanakan bersama. 

“Kita perlulah mempertingkatkan perkhidmatan kita kepada kanak-kanak istimewa supaya mereka mendapat belajar kemahiran tertentu ataupun mereka mendapat rawatan fisioterapi dan sebagainya,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Penutupan Hari Terbuka Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bahagian Miri 2022 di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) di sini pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Dato Sri Lee berharap Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) dapat mengadakan kursus profesional bagi semua pengusaha PDK ini. 

Mengulas mengenai majlis ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin memberitahu penganjuranya adalah untuk mempromosikan program PDK di kalangan masyarakat setempat, menyampaikan perkhidmatan OKU kepada golongan sasar serta menjalinkan ikatan silaturahim atau Kerjasama di antara ibu bapa dan masyarakat. 

Program ini juga melibatkan golongan sasar yang terdiri daripada ibu bapa, waris OKU, orang kurang upaya dan berkeperluan khas serta masyarakat setempat. 

“Dengan adanya aktiviti seperti ini maka kita ada peluang untuk bercampur gaul dan juga bertukar fikiran serta bagaimana kita boleh bersama-sama berusaha untuk membantu orang yang kurang upaya dalam masyarakat kita ataupun kanak-kanak istimewa,” katanya. 

Sumbangan daripada wakil rakyat, orang ramai, NGO dan badan badan koprat juga amat diperlukan bagi meneruskan pembangunan orang kelainan upaya terutama sekali yang berada di daerah Miri.

Turut sama hadir Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dan Pengerusi PPDK Miri Hasima Hamdan. 

add comment