Galak Golongan Wanita Ceburi Bidang Perniagaan

SELASA, 18 OKTOBER 2022

TATAU: Golongan wanita digalakkan menceburi bidang perniagaan yang boleh dijadikan sebagai kerjaya tetap atau sebagai menambah pendapatan keluarga. 

Ahli Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol berkata, ini kerana wanita mempunyai kemahiran yang unik seperti dalam masakan, pembuatan kraftangan dan sebagainya. 

“Saya juga mencadangkan kepada pihak BDA untuk membina gerai gerai untuk disewakan kepada peniaga peniaga kecil supaya mereka ini dapat menceburi bidang perniagaan dan peruncitan.

“Lokasi Pekan Tatau yang terletak di tebingan sungai boleh menjadi daya  tarikan pelancong. Jika tebingan Tatau ini siap nanti ia akan menjadi tumpuan pengunjung dan pembinaan gerai gerai kecil atau arked ini amat diperlukan di kawasan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penangguhan Pesta Tatau 2022 di Pasar Lama Tatau di sini pada Ahad. 

Terdahulu Pengerusi Pengelola Pesta Tatau 2022 Jabang Juntan dalam ucapan aluannya memberitahu penganjuran pesta ini adalah untuk membantu penjaja tempatan meningkatkan pendapatan selain mengetengahkan budaya tempatan di daerah Tatau ini. 

Berdasarkan kajian yang dilakukan, sepanjang penganjuran Pesta Tatau ini hasil jualan mencecah RM750,000. 

Pesta Tatau 2022 telah diadakan dari 1 hingga 16 Oktober dengan lebih 30 acara dan pertandingan diadakan yang turut disertai peserta dari Brunei Darussalam. 

Pada majlis itu telah diadakan Pertandingan Ratu Etnik Pesta Tatau 2022 yang menyaksikan Victoria Umang Rabing muncul pemenang yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi, sash dan tiara. 

Pemenang tempat kedua disandang Janet Sre James yang memenangi hadiah wang tunai RM1,500, trofi, dan sash dan tempat ketika disandang Diana Tinggau Louis membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan sash. 

Manakala, 5 peserta lain mendapat saguhati dan membawa pulang hadiah saguhati berupa wang tunai RM500 setiap seorang. 

Turut sama hadir Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu Datu Muhammad Yakup Kari, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Edwin Banta serta isteri, Pegawai Daerah Tatau merangkap Pengerusi Pengelola Pesta Tatau 2022 Jabang Juntan, Pegawai Tadbir Daerah Tatau Calvin Ligong, Pegawai Tadbir Daerah Tatau merangkap Setiausaha Tetap Jawatankuasa Pesta Tatau Winnie Dian dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau Dr. Layang Ugek.-EDISI UKAS

add comment