GPS Guna Mandat Rakyat Teruskan Perjuangan Di Peringkat Persekutuan

SELASA, 18 OKTOBER 2022

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menggunakan mandat yang diberikan rakyat untuk meneruskan perjuangan di peringkat Persekutuan, kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Ini termasuklah pembabitan GPS dalam dasar-dasar nasional selain mempertahankan hak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Jelas beliau, masih ada tiga lagi perkara yang penting dan masih belum diputuskan. 

“Di antaranya, ialah mengenai dengan agihan 112D walaupun rakan kita mungkin sudah menerima kita berteraskan kepada formula. 

“Keduanya ialah pentadbiran undang-undang kerana dulu kita ada Borneo High Court maka kita hendaklah merujuk perkara itu kepada perundangan kecil kita. 

“Dan, ketiganya jabatan-jabatan teknikal yang harus diiktiraf sebagai jabatan yang akan melaksanakan projek Persekutuan di Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB di sini pada Selasa. 

Tegas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, walaupun masih ada beberapa perkara melibatkan pentadbiran masih dalam perbincangan, tetapi tiga ini akan diberikan keutamaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut ditanya mengenai gabungan parti dari Semenanjung yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan GPS. 

Katanya, buat masa ini GPS masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Bila kita kacak (cantik atau kuat) semua orang nak (bekerjasama). Ada (yang berminat untuk kerjasama), tetapi kita akan tunggu dulu. 

“(Sekarang ini masih) bergerek (bercinta) belum diputuskan, tunang pun belum lagi,” ujarnya. 

GPS merupakan gabungan parti dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing.-EDISI UKAS

add comment