Kerajaan Sarawak Rancang Tubuhkan Lembaga Air Negeri

SELASA, 18 OKTOBER 2022

KUCHING: Sumber tenaga boleh diperbaharui seperti air adalah salah satu langkah alternatif yang digunakan bagi menghadapi fenomena perubahan iklim.

Sehubungan itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti Dan Telekomunikasi sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah entiti air untuk Sarawak iaitu Lembaga Air Negeri.

“Di Sarawak, kita menyumbangkan usaha dalam menghadapi perubahan iklim ini dan saya dengan Datuk Julaihi sebagai menteri bertanggungjawab akan mewujudkan pihak berkuasa air tunggal untuk meliputi seluruh negeri.

“Kita mempunyai grid air negeri yang serupa dengan pengurusan elektrik dan ini akan membawakan bekalan air kepada seluruh kawasan di Sarawak.

“Kita berharap dalam jangka masa panjang, ia akan menjadi lebih murah kerana kita menggunakan teknologi yang memerlukan pelaburan agak besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan The Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference (BIWWEC) 2022 di Kuching, pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, pihak kementerian akan menggabungkan empat agensi bekalan air sedia ada iaitu Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu, LAKU Management Sdn Bhd dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, Sarawak merupakan pembekal tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia.

Jelasnya, 70 peratus daripada campuran tenaga yang dijana adalah merupakan sumber kuasa hidro Sarawak yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan hidrogen karbon rendah.

“Sarawak kini merupakan pembekal tenaga boleh diperbaharui terbesar Malaysia untuk penduduk hampir 3 juta di seluruh Sarawak dan juga sebahagian daripada Borneo Indonesia di Kalimantan Indonesia.

“Malah, 70 peratus daripada jumlah campuran penjanaan tenaga adalah daripada sumber kuasa hidro Sarawak yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan hidrogen karbon rendah.

“Ini menyediakan persekitaran yang paling sesuai untuk mengangkat ekonomi hidrogen di Sarawak dan kajian penyelidikan hidrogen telah dimulakan sebagai langkah permulaan untuk meneroka, berinovasi dan menghasilkan hidrogen hijau,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Mantan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Presiden Persatuan Air Malaysia, Dr. Ir Ts. Mohd Asari Daud serta Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Chang Kuet Shian. -EDISI UKAS

add comment