SELASA, 18 OKTOBER 2022
MIRI: Perlumbaan berbasikal Kuala Baram Race 2022 (KBR2022) yang dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Seri Lee Kim Shin mencadangkan agar perlumbaan ini dapat dijadikan acara tahunan di Miri.
Ini kerana, sukan berbasikal ini menekankan kesedaran gaya hidup sihat serta sebagai aktiviti sukan rekreasi yang sekali gus menghijaukan alam sekitar.
“Saya berharaplah pertandingan ini akan menjadi satu kejohanan tahunan dan akan dimasukkan ke dalam kalender Majlis Bandaraya Miri,” katanya semasa berucap merasmikan Perlumbaan Berbasikal Kuala Baram Race 2022 di sini pada Ahad.
Lebih 400 peserta dari peringkat tempatan dan antarabangsa dengan 313 peserta tempatan diikuti antarabangsa (47), Sabah (26), Semenanjung Malaysia (13) dan seorang peserta dari Wilayah Persekutuan Labuan menyertai perlumbaan ini.
Sebanyak 8 kategori dipertandingkan antaranya Lelaki Elit, Lelaki Master A, Lelaki Remaja, Lelaki Veteran, Lelaki Master B, Wanita Terbuka, Super XL dan Basikal Lipat.
Turut serta Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang, Timbalan Datuk Bandar MBM Julaihi Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan MBM Warziedea Ahmad dan Ahli Majlis Bandaraya Miri Jeffrey Phang Siaw Foong.-EDISI UKAS