Husini Bakir Dilantik Pemangku Setiausaha Tetap MEITD

RABU, 19 OKTOBER 2022

KUCHING: Ketua Penolong Setiausaha (Pentadbiran, Sumber Manusia dan Kewangan) Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Husini Bakir dilantik sebagai Pemangku Setiausaha Tetap MEITD yang baharu.

Menteri MEITD, Datuk Roland Sagah Wee Inn telah menyaksikan penyerahan tugas berkenaan bersama beberapa orang pegawai kementerian di pejabatnya, di sini pada Rabu.

Menurut kenyataan media pada Rabu, Husini mengambil alih tugas berkenaan daripada Datu Kameri Affandi yang telah memegang jawatan berkenaan sejak Januari 2020, sehingga setiausaha tetap yang masuk melapor diri untuk menjalankan tugas.

Untuk rekod, Datu Kameri telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) sejak tahun 1987 di mana beliau bermula sebagai Pegawai Tadbir di Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak.

Sepanjang kerjayanya di SCS, beliau berkhidmat dalam pelbagai jawatan dalam Kerajaan Sarawak dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Unit Sumber Manusia Negeri, Pengarah Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB JKM) serta Pengarah Suruhanjaya Sukan Negeri Sarawak. 

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha MAKSAK Sarawak serta beberapa jawatankuasa lain dalam SCS.-EDISI UKAS

add comment