Mangsa Banjir Kampung Assyakirin Fasa 2 Terima Bantuan ADUN Tanjung batu

RABU, 19 OKTOBER 2022

BINTULU: Seramai 38 orang penduduk Kampung Assyakirin Fasa 2 di sini menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming.

Johnny Pang berkata, bantuan berkenaan adalah untuk meringankan sedikit beban penduduk kampung yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku sebelum ini.

“Saya bersimpati apabila melihat keadaan Kampung Fasa 2 yang sering terjejas dengan banjir seperti rumah dimasuki air, perabot rosak dan kenderaan yang tenggelam.

“Saya faham keadaan kamu, sebab rumah saya di Good Park Tanjong Batu juga banjir setiap tahun.

“Saya faham bukan mudah untuk berhadapan dengan situasi bencana banjir ini, apabila banyak barang-barang dan harta benda di rumah rosak akibat terkena air.

“Justeru, majlis hari ini diadakan bagi meringankan sedikit beban penduduk Kampung Assyakirin Fasa 2 yang terjejas dengan banjir kilat yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan bantuan bantuan berkenaan di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 2 di sini pada Rabu.

Beliau juga berharap para penerima sumbangan dapat menggunakan sumbangan tersebut dengan baik.

Hadir sama ialah Ketua Kaum Abu Bakar Abdul Razak, Pengerusi KRT Awg Madihi Awg Yatim, dan Timbalan pengerusi JKKK Yusuf Che Mat.-EDISI UKAS

add comment