PETRONAS Anjur Bengkel Pengurusan Bencana

RABU, 19 OKTOBER 2022

BINTULU: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang berkaitan telah menganjurkan bengkel pengurusan bencana pada 11 hingga 12 Oktober.

Bengkel tersebut yang bertema ‘Bersatu Ke Arah Matlamat Bersama’ bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan kecemasan dan krisis dalam organisasi dan komuniti yang berkaitan di Bintulu.

Pihak berkuasa dan agensi yang bekerjasama ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (BDDMC).

Objektif bengkel tersebut adalah untuk meningkatkan pemahaman peserta tentang kecemasan dan pengurusan krisis, serta membantu mereka memahami peranan dan tanggungjawab mereka sebagai ahli pasukan kecemasan dalam memastikan kesiapsiagaan dan daya tahan Bahagian Bintulu menghadapi kecemasan dan krisis.

Ia juga direka bentuk sebagai platform untuk menyatukan respons kecemasan serta mengukuhkan penglibatan dan kerjasama antara anak syarikat PETRONAS dan pihak berkuasa dan agensi dalam pengurusan bencana kerajaan yang berkaitan.

Bengkel itu dihadiri oleh wakil daripada 34 pihak berkuasa dan agensi kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah, anak syarikat PETRONAS di Bintulu, Bantuan Bersama Kecemasan (BEMA) Bintulu dan penyedia perkhidmatan minyak dan gas.

Menurut kenyataan media, bengkel tersebut menjalankan latihan meja pengurusan bencana untuk meningkatkan kejelasan pengurusan kecemasan dan krisis Bintulu.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada siri Bengkel Kolaboratif Pengurusan Bencana PETRONAS yang meliputi empat daerah strategik iaitu Miri, Kemaman, Bintulu dan Kota Tinggi yang akan dijalankan sehingga suku pertama 2023. -EDISI UKAS

add comment