PRU15: Tarikh Mengundi Pada 19 November Depan

KHAMIS, 20 OKTOBER 2022

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah mengumumkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan diadakan pada 19 November depan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Ghani Salleh memberitahu, hari pengundian awal pula diadakan pada 14 November 2022 dan hari penamaan calon pada 5 November 2022.

Beliau berkata, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas dan memutuskan satu PRU Ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, serta 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak.

Tambah beliau lagi, pada masa sama, PRK DUN  N.66 Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“Bagi maksud menjalankan PRU ke-15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut iaitu Tarikh Keluar Writ pada 20 Oktober 2022 (Khamis), Hari Penamaan Calon pada 5 November 2022 (Sabtu), Hari Mengundi Awal pada 15 November 2022 (Selasa) dan Hari Mengundi pada 19 November 2022 (Sabtu),”jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Putrajaya pada Khamis.

Jelas Tan Sri Abdul Ghani lagi, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula daripada 10 Oktober 2022 (Isnin) untuk PRU Ke-15 dan bermula daripada 13 Oktober 2022 (Khamis) bagi PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah.

“Manakala tarikh tutup permohonan adalah seperti berikut:  Kategori 1 (A) petugas pilihanraya, ahli SPR dan anggota polis, anggota tentera dan petugas media, tarikh tutup adalah pada 2 November 2022 (Rabu), kategori 1 (B) warganegara Malaysia yang berada di luar negara tarikh tutup pada 23 Oktober 2022 (Ahad) dan kategori 1C iaitu Agensi serta Organisasi tarikh tutupnya adalah pada 26 Oktober 2022 (Rabu),” ujarnya lagi.

Beliau turut memaklumkan, SPR telah melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu oleh 1,264 orang Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses PRU Ke-15 dan PRK DUN N.66 Bugaya Sabah.

Tambahnya juga, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding untuk memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Ghani juga memberitahu, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Ogos lepas bagi PRU Ke-15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih.-EDISI UKAS

add comment