Setiap Kakitangan Kerajaan Perlu Punyai Integriti Untuk Capai Negeri & Negara Maju

JUMAAT, 21 OKTOBER 2022

MIRI: Integriti merupakan ciri penting yang perlu ada pada setiap kakitangan kerajaan. 

Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, ia bertujuan untuk mencapai matlamat yang disasarkan dalam sesebuah organisasi. 

Katanya lagi, aspek integriti itu juga penting dalam membantu menjadikan negeri atau negara lebih maju. 

“Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) yang merupakan antara agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar perlu menitikberatkan aspek integriti.

“Kementerian kita adalah kementerian baharu di Sarawak dan ini bermakna NREB mempunyai peranan besar kerana mempunyai masa depan cerah dan penting kepada Sarawak,” katanya pada sambutan Hari Integriti NREB 2022 di sini pada Khamis. 

Dr Hazland turut memberitahu pengurusan alam sekitar di Sarawak kini telah dikembalikan dan diberi kuasa penuh menjadikan NREB mempunyai kakitangan yang berkualiti tinggi. 

“Oleh sebab itu, aspek integriti amat diperlukan agar kita mempunyai kakitangan berkualiti bersesuaian dengan tema kita ‘Integriti Memacu Kejayaan NREB’,” jelasnya. 

Dalam perkembangan sama, NREB turut membuka enam lagi cawangan bagi memperkembangkan peranannya kepada masyarakat setempat. 

“Dengan adanya penambahan cawangan itu nanti, fungsi dan perkhidmatan NREB lebih baik selain kita mempunyai kakitangan berkualiti,” katanya.

Pada majlis itu Dr Hazland telah menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 dan 2021 kepada penerima-penerima anugerah dari NREB. 

Hadir sama Kontroler Kualiti Alam Sekitar NREB Peggy Ronin Edin. -EDISI UKAS

add comment