SABTU, 22 OKTOBER 2022
KUCHING: Kerajaan Sarawak yakin bahawa Perkhidmatan Awam Sarawak dapat membantu dalam merealisasikan sasaran kerajaan untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM282 bilion menjelang 2030.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sasaran itu merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk Sarawak mencapai status negeri maju dan mempunyai ekonomi berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, dengan adanya jentera perkhidmatan awam di negeri ini yang kuat dan berinovatif, ia akan membantu ke arah mencapai visi kerajaan itu.
“Kita mahu melihat Sarawak menjadi sebuah negeri maju dan mempunyai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Bahagian berpendapatan tinggi adalah bahagian yang sangat sukar di mana kita mensasarkan untuk meningkatkan jumlah KDNK dari lebih RM130 bilion kepada RM282 bilion yang mana ia adalah jurang lompatan yang besar.
“Saya dan seluruh Kabinet Sarawak yakin kita boleh mencapai RM280 bilion itu kerana kita sudah mempunyai jentera untuk merealisasikannya iaitu perkhidmatan awam yang kuat, orang dalam perkhidmatan awam adalah inovatif dan mereka boleh melihat jauh.
“Jadi anda adalah mesin untuk mencapai visi kita itu dan saya adalah pemandu,” katanya pada Majlis Malam Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCISCA) di Raia Hotel And Convention Centre Kuching pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menzahirkan rasa syukur kerana Sarawak memiliki kumpulan-kumpulan perkhidmatan awam yang begitu inovatif.
Katanya, ia sudah tentu memberi impak yang sangat positif untuk membangunkan negeri ini.
Dalam majlis itu, Premier Sarawak telah menyampaikan anugerah-anugerah kepada para pemenang yang menyaksikan kumpulan SASSOKU TECH daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak muncul sebagai johan Anugerah Inovasi Premier Sarawak yang membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM10,000.
Manakala naib johan Anugerah Inovasi Premier Sarawak telah dimenangi oleh kumpulan FIVE’02 dari Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan LABOUR ULTRA dari Jabatan Tenaga kerja Negeri Sarawak yang mana masing-masing membawa pulang hadiah trofi.
Bagi Anugerah Inovasi Khas SCSICA 2022 pula, kumpulan Engkabang dari Majlis Daerah Meradong dan Julau berjaya merangkul anugerah berkenaan dan Anugerah Inovasi Digital 2022 menyaksikan kumpulan SHARKS dari Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) berjaya memenanginya yang mana masing-masing membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM5,000.
Turut hadir ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian serta isteri Datin Seri Enn Ong Siok Ean, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Sri Baduyah Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Pemangku Setiausaha Persekutuan Sarawak Banges Munga serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS