SABTU, 22 OKTOBER 2022
SERIAN: Projek Naik Taraf Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tebakang telah dilaksanakan menerusi peruntukan berjumlah RM250,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, peruntukan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Bukit Semuja itu adalah untuk keselesaan dan kemudahan prasarana warga sekolah untuk mengadakan pelbagai aktiviti.
Jelasnya, bantuan akan terus diberikan dari segi prasarana seperti dewan, peralatan pendidikan dan sebagainya kepada pihak sekolah setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak kementerian.
“Pihak sekolah telah memohon peruntukan untuk menaiktaraf padang sekolah pada tahun 2017 dan diluluskan di bawah projek RTP Bukit Semuja pada tahun 2018 sebanyak RM200,000.
“Pada tahun 2020, peruntukan sebanyak RM50,000 diluluskan untuk menaiktaraf sistem perparitan di sekitar padang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sukan Tahunan Peringkat Sekolah Tahun 2022 Dan Padang SK Tebakang di Serian pada Khamis.
Untuk rekod, kejohanan sukan tahunan di SK Tebakang diadakan setelah dua tahun tidak dijalankan akibat pandemik COVID-19. -EDISI UKAS