Bidang Petanian Berpotensi Bekembang Dengan Cepat

AHAD, 23 OKTOBER 2022

TELANG USAN: Sudah tiba masanya warga petani mencuba bidang pertanian yang mempunyai potensi untuk berkembang cepat serta pesat.

Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, bangsa Dayak adalah bangsa yang kuat serta rajin bekerja namun sehingga kini masih lagi tidak ramai yang berjaya mengubah ekonomi keluarga.

“Ramai petani kampung hari ini lebih suka menceburi penanaman kelapa sawit namun tidak semua mampu melakukan kerja ini kerana menanam sawit adalah kerja yang berat dan harga komoditi ini juga tidak stabil kerana mengikut penetapan pasaran dunia.

“Justeru, saya menyeru agar masyarakat petani cuba belajar untuk berubah daripada amalan pertanian secara kecil-kecilan kepada pertanian yang berpotensi menghasilkan pendapatan lumayan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penangguhan AgriCOP Daerah Telang Usan di Kampung Long Atip pada Jumaat. 

Beliau turut meminta Jabatan Pertanian mengenal pasti kehendak masyarakat petani di kampung ini dan berbincang untuk menanam tanaman yang sesuai berdasarkan kesesuaian persekitaran terutamanya kawasan yang kerap banjir dan sebagainya.

Dalam majlis sama, Dato Sri Dr. Stephen telah menyalurkan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Atip dan RM10,000 untuk gereja Long Atip.

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen & Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala juga menyumbang sejumlah RM20,000 manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau telah menyumbang sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Atip.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datu Edwin Abit.-EDISI UKAS 

add comment