AHAD, 23 OKTOBER 2022
DARO: Kepimpinan dan keprihatinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah membawa pelbagai pembangunan di kawasan Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, sebanyak tiga projek mega telah diumumkan oleh Premier Sarawak sewaktu lawatannya ke Daro pada 2017 iaitu pembinaan Masjid Daro, Jambatan Batang Lassa dan Rumah Spektra Permata (RSP).
Menurutnya pembinaan Masjid Daro telah siap manakala pembinaan Jambatan Batang Lassa juga sedang berjalan lancar.
Manakala Rumah Spektra Permata (RSP) Kampung Badong juga telah dilaksanakan dengan kerja-kerja tapak sudah bermula.
Katanya, pelbagai projek rakyat juga telah diumumkan Premier Sarawak semasa lawatannya ke Penasu, Daro pada 2018 yang telah memberi manfaat kepada masyarakat di luar bandar.
Antara projek berkenaan adalah pembinaan jalan dari Penasu ke Nanga Semah yang mempunyai sebanyak tujuh rumah panjang.
“Alhamdullillah, jalan sepanjang 11.45 kilometer R3 yang dilaksanakan oleh DID selaku agensi pelaksana sudah hamppir siap cuma menunggu untuk dipremix sahaja lagi,” katanya dalam ucapan aluan semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Pekan Baharu Daro pada Ahad yang telah dirasmikan oleh Premier Sarawak.
Selain itu kata Safiee, Premier Sarawak juga telah meluluskan pembinaan sekolah Penasu baru tiga tingkat yang kini telah lengkap dengan asrama, blok pentadbiran, flat dan pelbagai kemudahan untuk para guru dan pelajar.
Katanya, keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Premier Sarawak telah diterjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas di mana Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Daro mendapat undi yang cukup besar sebanyak 93.2 peratus.
“Inilah kelebihannya kita mempunyai keyakinan rakyat terhadap pucuk pimpinan kita,” tambah beliau dalam ucapannya.
Hadir sama dalam majlis itu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi I Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Undang-Undang, Perjanjian Malaysia (MA63) dan Perhubungan Negeri Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta dif-dif kenamaan yang lain.
Safiee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Pemimpin Bersama Rakyat menambah beliau sentiasa berpegang kepada kata-kata Premier Sarawak bahawa Jambatan Batang Lassa akan menjadi ‘game changer’ kepada pembangunan di Daro.
“Sebab itu kita fikirkan, pastikan kita bersedia untuk menikmati pembangunan Jambatan Batang Lassa, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Paloh akan memberi faedah kepada kita di Daro ini.
“Jadi itu perlu sediakan kemudahan, kita sediakan ‘gula-gula’ supaya ‘semut-semut’ akan datang ke Daro ini.
“Bila datang ke Daro, kita akan dapat nikmati limpahan dari pembangunan itu,” tegas Safiee lagi.
Dalam ucapannya juga, beliau merakamkan terima kasih kepada Premier Sarawak kerana telah meluluskan pembinaan Waterfront Daro dengan anggaran kos sebanyak sebanyak RM34 juta.
Selain itu, beliau turut memohon pertimbangan Premier Sarawak untuk pembinaan sebuah pasar tani baru di Daro bagi memberi peluang kepada petani di kawasan itu meningkatkan sumber ekonomi mereka.
Katanya, selain menyediakan peluang pekerjaan, pasar tani baru itu juga akan meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat selain menjamin keselamatan makanan di kawasan itu dan Sarawak amnya.
Selepas majlis berkenaan, Safiee dan tetamu lain menyaksikan Premier Sarawak menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembinaan Rumah Spektra Permata (RSP) Kampung Badong di Tapak SPK Badong Baru.
Beliau kemudiannya turut hadir semasa Premier Sarawak merasmikan Kompleks Sukan Daro yang telah selesai dinaiktaraf dengan menelan kos sebanyak RM3.3 juta. – EDISI UKAS