Kes Demam Denggi Tunjuk Peningkatan Tahun Ini

AHAD, 23 OKTOBER 2022

MARUDI: Pejabat Kesihatan Daerah Marudi serta Majlis Daerah Marudi dengan kerjasama penduduk di Rumah Ridab Sungai Pasir telah mengadakan Progrom Gotong-Royong Perdana Cegah Aedes. 

Ia diadakan susulan kes demam denggi menunjukan peningkatan pada tahun ini. 

Menurut Pegawai Tadbir Sarawak yang mewakili Pegawai Daerah Marudi Reagen Edwin, program seumpama ini merupakan salah satu contoh terbaik dan perlu diadakan di setiap kampung di daerah ini. 

“Penglibatan agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Marudi dan Majlis Daerah Marudi dalam aktiviti gotong-royong ini merupakan inisiatif yang terbaik bagi memberikan kesedaran kepada penduduk bahayanya penyakit Demam Denggi sekiranya ia tidak dikawal. 

“Pencegahan lebih baik dari mengubati dan ia amat bertepatan dengan program ini kerana pada pagi ini aktiviti gotong-royong memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk seperti tin-tin kosong, bekas-bekas makanan dan tempat yang menakung air,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Gotong-Royong Mega Perangi AEDES di Rumah Ridab Sungai Pasir Marudi pada Sabtu. 

Jelasnya lagi, penglibatan penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat penting bagi memastikan persekitaran rumah panjang berada di dalam keadaan yang bersih dan bebas dari penyakit khususnya penyakit bawaan nyamuk. 

Selain itu katanya, aktiviti gotong-royong perdana seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kerana mereka berkumpul bersama-sama untuk melakukan aktiviti.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Dr Siti Rozarina Zainudin dan wakil Majlis Daerah Marudi Kaunselor Yanti Nyanggau.-EDISI UKAS 

add comment