ISNIN, 24 OKTOBER 2022
BETONG: Layar Cycling Karnival Edisi Ke-4 melabuhkan tirainya pada Ahad setelah berlangsung sejak Jumaat yang lalu.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu telah hadir bagi menyempurnakan upacara pelepasan tersebut.
Perlumbaan itu disertai 25 pasukan dari seluruh Sarawak dan Malaysia melibatkan seramai 230 peserta antaranya dari Terengganu, Johor dan Indonesia.
“Selama tiga hari ini, mereka telah bertanding dalam acara Criterium dan juga Road Race dengan jarak 90km (92 km secara tepatnya) di kawasan Betong.
“Saya mendapat maklum balas para pelumba, road race ini adalah amat mencabar dan ianya salah satu tarikan LCC.
“Sukan berbasikal adalah salah satu sukan yang boleh diangkat di Bahagian Betong. Pada tahun hadapan, saya berharap agar taraf kejohanan ini dapat ditingkatkan menjadi salah satu acara sukan utama di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan & Penyampaian Hadiah Layar Cycling Carnival Edisi ke-4 2022, di RTC Layar, Betong.
Karnival ini disambut bukan sahaja oleh pasukan berbasikal, malah masyarakat setempat yang menggunakan peluang membuka gerai perniagaan dan kehadiran orang ramai menyaksikan pelbagai aktiviti dan acara hiburan dua malam berturut-turut.
Dato Gerald menambah, ianya adalah sesuatu yang baik di dalam meningkatkan aktiviti sosio ekonomi masyarakat setempat.
“Aspirasi saya, selepas Pan Borneo siap sepenuhnya kita boleh mengadakan pertandingan berbasikal dari Telok Melano hingga ke Miri atau ke Lawas.
“Usaha ini adalah untuk meningkatkan penglibatan kita di Sarawak di dalam sukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dato Gerald turut berkesempatan menyempurnakan simbolik perasmian Jelajah Saringan Kesihatan Percuma anjuran SABERKAS Negeri Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Layar.
Jelajah ini akan berlangsung selama 10 hari bermula 21 sehingga 30 Oktober 2022 dan akan diteruskan di beberapa lokasi terpilih.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong merangkap Pengerusi Layar Cycling Carnival Edisi Ke-4 2022 Alfred Geling Ason, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup serta tetamu lain.-EDISI UKAS