Dua Bot Ditahan Pindahkan Muatan Tanpa Kebenaran

SELASA, 25 OKTOBER 2022

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan dua bot disyaki melakukan aktiviti pemindahan muatan antara kapal tanpa kebenaran.

Sebuah bot tunda dan tongkang telah ditahan pada jarak lebih kurang 3.7 batu nautika dari Tanjung Batu di sini pada Ahad.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata penahanan dibuat semasa aset Zon Maritim Bintulu melakukan rondaan rutin dan muatan kayu balak dijumpai atas bot tongkang.

“Kedua-dua bot akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah,” jelasnya.

Komuniti maritim di Bintulu disarankan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang di laut serta mengalu-alukan apa sahaja maklumat dan aduan bagi sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. -EDISI UKAS

add comment