TVET Pemboleh Daya Menyumbang Pembentukan Negara Membangun

SELASA, 25 OKTOBER 2022

SERIAN: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini dijadikan sebagai salah satu pemboleh daya yang menyumbang ke arah pembentukan negara membangun.

Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, aliran TVET adalah pilihan kerjaya yang boleh dipertimbangkan.

Sehubungan itu jelasnya, usaha untuk menganjurkan pelbagai program berhubung kesedaran pentingnya penguasaan TVET harus dipergiat.

“Sistem pendidikan yang responsif terhadap ekonomi berasaskan pengetahuan juga perlu diberi keutamaan.

“Jika kita tidak berusaha menelusuri arus Revolusi Industri 4.0 ini lebih-lebih lagi dalam sektor ekonomi baharu, yang mana pembelajaran dan pekerjaan menjadi semakin fleksibel, nescaya kita mungkin tidak lagi relevan pada masa hadapan.

“Sebanyak 145,000 peluang pekerjaan yang terdiri daripada sektor pemangkin dasar ekonomi dan 50,000 daripada bidang perniagaan disasar di Sarawak menjelang tahun 2030.

“Aspirasi kita ialah untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang sepadan dengan kehendak industri kini dan masa hadapan,” katanya semasa berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Program CSR Sarawak Skills Kepada Komuniti di Dewan Kampung Sira pada Ahad.

Seramai 120 peserta yang terdiri daripada belia, surirumah, petani dan murid-murid sekolah menengah di sekitar kawasan Padawan dan Tarat telah menyertai program berkenaan selama tiga hari bermula Jumaat.

Program berasaskan TVET anjuran bersama Sarawak Skills dan MEITD ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan peluang kepada para peserta untuk mengenali program kemahiran tertentu, terutamanya dalam bidang Elektrik, Pertanian (Penanaman Moden Secara Hidroponik) dan pembuatan roti dan pastri.

Hadir sama di majlis penutupan itu ialah Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Sarawak Sudirman Suratin, Pemangku Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Damen Rejek.-Edisi UKAS

add comment