SELASA. 25 OKTOBER 2022
KUCHING: Panel Penasihat Klinik Kesihatan Jalan Masjid dengan kerjasama Pergerakan Wanita PBB Dun N8 Satok telah menganjurkan Program Sambutan Hari Warga Emas 2022 bertempat di Dewan Dato Hajjah Juma’ani SK Rakyat Haji Bolhassan.
Bagi memeriahkan sambutan pada tahun ini, pihak penganjur telah menjemput tiga Persatuan Warga Emas terdiri daripada PAWE Sri Satok, PAWE IBU dan Anak, Jalan Jawa serta PAWE Kuching, Petra Jaya.
Pelbagai aktiviti dan acara telah dirangka bermula jam 7.30 pagi sehingga 2.00 petang yang diadakan pada Sabtu seperti pemeriksaan kesihatan, chairobic dan senamrobik, pertandingan gubahan bunga dan ‘Mystery Game’.
Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam ucapan perasmiannya berkata, program itu penting diadakan bagi menyemai nilai kasih sayang terhadap warga emas.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan warga emas agar sentiasa menjaga kesihatan dan kerap melakukan senaman.
Malah, generasi muda juga perlu mengambil perhatian khusus terhadap warga emas kerana golongan itu merupakan aset yang amat penting kepada negara memandangkan mereka memiliki ilmu, pengalaman dan kepakaran yang tidak mudah dicari ganti.
Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak merangkap Setiausaha PBB Cawangan N.8 Satok Abdul Samat Gany, wakil Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Kelvin Yong Pemanca Kawasan Selatan Tebing Sungai Sarawak Kuching Rosli Sahari, Ketua Wanita Cawangan PBB N8 Satok Salina Mohammad Salleh, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum (KMKK) DUN Satok dan kakitangan Klinik Kesihatan Jalan Masjid.- EDISI UKAS