PBB DUN Bekenu Siap Siaga Hadapi PRU-15

SELASA, 25 OKTOBER 2022

MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bekenu telah mengadakan sesi libat urus sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Cawangan PBB DUN Bekenu Datuk Rosey Yunus telah mempengerusikan sesi libat urus itu bagi membincangkan gerak kerja dalam mempertahankan Parlimen Sibuti dengan sasaran majoriti lebih baik. 

Beliau turut memberikan penerangan tentang tugas di peringkat cawangan untuk disampaikan kepada jentera di peringkat akar umbi di setiap 35 ranting PBB di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan semua bilik operasi di setiap ranting PBB DUN Bekenu memulakan operasi segera dan bersiap sedia dengan gerak kerja pilihan raya kali ini. 

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni melahirkan keyakinan akan dicalonkan semula dan berharap peratusan turun mengundi dapat dicapai dalam 68 peratus ekoran peralihan ke fasa endamik. 

Selepas mesyuarat, telah diadakan penyerahan bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan peralatan tulis di 35 bilik operasi ranting PBB dalam DUN Bekenu.

add comment