SELASA, 25 OKTOBER 2022
KOTA SAMARAHAN: Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Sri Arjuna Cawangan DUN N.17 Stakan telah menganjurkan Temasya Sukaneka Komuniti Kampung Sri Arjuna dengan kerjasama Kelab Kampung Sri Arjuna pada Ahad.
Pelbagai aktiviti dan acara telah diadakan seperti pertandingan futsal tertutup kampung, senamobik, sukaneka dan pertandingan mewarna dan dijayakan oleh lebih 100 penduduk kampung berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim telah menyempurnakan perasmian temasya itu dan berkesempatan merasmikan pertandingan futsal tertutup kampung serta seterusnya melawat peniaga-peniaga kecil di dataran dewan.
Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada penduduk kampung kerana telah menjayakan program seperti ini dan mengucapkan syabas kepada penduduk kampung kerana dapat memberi komitmen yang tinggi dan kerjasama yang baik bagi menjayakan program ini.
Menurut Datuk Hamzah, program seperti ini diharap dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan di antara penduduk kampung serta meningkatkan semangat kesukanan.
Turut hadir Penghulu Kampung Sri Arjuna Trisno Sarintana, Ketua Kampung Sri Arjuna Usof Ali, Timbalan Pengerusi PBB Cawangan DUN N.17 Stakan Tuah Jini, dan Saman Ketua Ranting PBB Kampung Sri Arjuna Cawangan DUN N.17 Stakan Ebedi Haji. -EDISI UKAS