Pertandingan Pertama Sukan Jombola Tarik Penyertaan 20 Pasukan

SELASA, 25 OKTOBER 2022

KUCHING: Pertandingan Jombola, sukan baharu yang julung diadakan telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna Petra Jaya Kuching pada Sabtu lepas.

Ia diadakan sempena dengan Program 1000 Liga Peringkat Bahagian Kuching dan juga Bulan Sukan Negara pada Oktober.

Penyertaan amat memberangsangkan menyaksikan 20 pasukan dari dari Kuching, Kota Samarahan dan Murum, Bintulu mendaftar untuk mengambil bahagian dalam tiga kategori iaitu beregu lelaki, wanita dan campuran.

Aksi final itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Jombola Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon dan ahli-ahli Persatuan Jombola Sarawak.

Ketika ditemui semasa menyampaikan hadiah kepada semua pemenang, Kennedy mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dari Kuching, Kota Samarahan dan Murum Bintulu yang pertama kali menyertai pertandingan tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Morshidi Fredrick dan Ketua Bahagian Pembangunan Sukan SSC Ahmad Rodzli Hashim kerana menyokong perkembangan sukan Jombola di Sarawak.

“Ucapan terima kasih juga kepada Pengarah Jabatan Belia Sukan Sarawak, Lamat Nyalau kerana memberi peluang kepada kami untuk menganjurkan pertandingan Jombola pertama kali di Sarawak pada bulan sukan negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Persatuan Jombola Teknikal Malaysia dan juga Timbalan Presiden Jombola Sarawak, Dr Ong Kong Swee amat gembira kerana bilangan peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu amat menggalakkan walaupun ia baharu diperkenalkan.

“Kami gembira melihat semua orang menikmati sukan jombola walaupun ada yang tidak mengetahui peraturan jombola. Selepas beberapa perlawanan mereka menjawab bahawa permainan jombola adalah mudah untuk dimainkan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak teknikal yang membantu kami dalam pertandingan jombola.

“Terima kasih kepada tenaga pengajar jombola baharu yang telah dilatih selama tiga minggu lalu untuk membantu kami dalam pertandingan tersebut dan juga kepada CEO SSC, Morshidi Fredrick kerana memberi kemudahan kepada kami untuk pertandingan pertama di Sarawak.

“Terima kasih juga kepada pengedar rasmi Jombola Equipment, Taja Madang Sdn Bhd kerana menaja pingat dan sijil dan juga Genesis kerana menaja air mineral semasa pertandingan,” ujar Dr Ong.

Kesemua pemenang dan mereka yang layak ke separuh akhir menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil digital daripada Persatuan Jombola Sarawak dan Taja Madang.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang sukan Jombola boleh melayari laman web dan pautan jombola.com.

Sementara itu, juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga bersama bagi kategori beregu campuran ialah Baling Ellision Duren & Madeline Lawing (Murum), Osan Jalin & Laura Serum (Murum) dan Hendry Ding & Jenny Kut (Murum)/Raja Ding May & Caroline Baru.

Juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga bersama kategori beregu lelaki ialah Baling Ellision Duren & Hendry Ding (Murum), Osan Jalin & Raja Ding May (Murum) dan Roniel Ajang Along & Jeslen Allan (Murum)/Ngaung Ung Siong & Dauglas Austin Ak Roland (Kota Samarahan/ Kuching).

Manakala Juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga bersama kategori wanita ialah Madeline Lawing & Jenny Kut (Murum), Laura Serum & Caroline Baru (Murum) dan Lau Siew Hung & Lis Solihat bte Ag Hasbolah (Kota Samarahan)/Suraina binte Adenan & Shafrina bte Iksan (Kuching). – EDISI UKAS

add comment