Program SKoD Perkasa Kesejahteraan Masyarakat Luar Bandar

SELASA, 25 OKTOBER 2022

LIMBANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia (KPLB) melaksanakan program Sahabat Komuniti Desa (SKoD) di 182 kawasan parlimen di luar bandar tahun ini sebagai tindakan pantas membantu penduduk sekiranya berlaku bencana.

Menurut Timbalan Menterinya Datuk Hasbi Habibollah, jumlah keseluruhan SKoD terdiri daripada 196 lokaliti seluruh Malaysia dengan mempunyai seramai 5,910 sukarelawan.

“SKoD merupakan Kumpulan Tindakan Komuniti(Community Action Group) yang ditubuhkan mensasarkan sekurang-kurangnya satu SKoD di semua Parlimen Luar Bandar selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar.

“Secara tidak langsung, penubuhan pasukan SkoD di kampung-kampung juga merupakan intipati utama dalam mencapai visi dan misi KPLB dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ke arah kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran SKoD Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 dan Jom Masuk Kampung di Dewan Kampung Pabahanan di sini pada Ahad.

Menjelas lanjut, Datuk Hasbi berkata, penubuhan SKoD ini bertujuan bagi menggalakkan perkembangan semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat desa dalam pembangunan luar bandar dengan kerjasama strategik agensi/jabatan, swasta, komuniti desa dan NGO.

Selain itu katanya, program tersebut merupakan satu jaringan komuniti yang bekerjasama di seluruh Malaysia untuk melahirkan kepimpinan dan semangat kesukarelaan.

Program SKoD di Sarawak melibatkan 31 kawasan parlimen yang mana antara programnya adalah seperti Program Kesedaran Kesihatan dan Amalan Gaya Hidup Sihat, Program Menangani Isu Keselamatan Kampung, Program Menjaga Kebajikan Penduduk Kampung, Program Memupuk Semangat Patriotisme seperti Sambutan Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Kebesaran Islam.

Manakala Program Masuk Kampung adalah program baru di mana setiap negeri akan menerima satu siri untuk dilaksanakan danseramai 200 orang disasarkan terlibat.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah KEMAS Malaysia Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni, Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti Ibu Pejabat KEMAS Putrajaya Yuhany Kamarol Zaman, wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Sobree Damit, Pengarah KEMAS Sarawak Khairuddin Md Nasir, dan Ketua Kampung Pabahanan Latip Sabli.-EDISI UKAS

add comment