SELASA, 25 OKTOBER 2022
SIMANGGANG: Berita gembira kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang setelah menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berjumlah RM20,000.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM10,000 geran tahunan 2022 telah diluluskan manakala sebanyak RM10,000 juga diluluskan bagi tahun 2023 untuk membina pintu masuk utama dan baikpulih astaka yang telah diluluskan ketika perasmian penutupan Kejohanan Olahraga Antara Rumah 2022 baru-baru ini.
Kelulusan geran berkenaan dimumkan semasa Datuk Francis Harden yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak menghadiri Majlis Merarau Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bt Lintang, Undop, Sri Aman di Dewan Komuniti SK Batu Lintang.
Objektif penganjuran majlis itu juga bertujuan mengumpul dana bagi membiaya aktiviti PIBG dalam menyediakan prasarana untuk kemudahan murid-murid dan warga sekolah SK Batu Lintang yang merupakan sekolah pendalaman.
Untuk rekod, SK Batu Lintang telah mendapat manfaat peruntukkan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dari wakil rakyat termasuk pembinaan dewan serbaguna, pembinaan tempat letak kereta berbumbung, pembaikan asrama dan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung.
Dalam ucapan perasmian majlis, Datuk Francis telah menerangkan peruntukan besar yang diluluskan kepada sekolah-sekolah di DUN Simanggang bagi menyokong para pendidik menjalankan tanggungjawab mendidik murid-murid dalam persekitaran yang kondusif dan merapatkan jurang prasarana dengan yang terdapat di bandar.
Hadir ketika majlis tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Elvis Didit dan wakil PPD Sri Aman Grace Lungkong, Penghulu Mingging Sigan. – EDISI UKAS