TYT Terima Kunjungan Hormat Daripada Pengurusan Kanan UNIMAS

SELASA, 25 OKTOBER 2022

KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan hormat daripada Pengurusan Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Demak Jaya pada Selasa.

Rombongan diketuai oleh Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi itu adalah untuk memaklumkan mengenai istiadat konvokesyen UNIMAS ke-26 yand bakal diadakan pada 31 Oktober hingga 3 November 2022.

Ketika ditemui media, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim berkata, konvokesyen kali ini melibatkan seramai 3972 graduan dari pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

“Kami akan mengadakan majlis konvokesyen ini bagi meraikan 3972 graduan pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

“Secara terperincinya, kita ada 3404 orang yang akan bergraduat dengan sarjana muda, 526 orang doktor falsafah dan juga sarjana.

“Kita juga akan meraikan 85 graduan antarabangsa dan 42 orang bagi program baharu yang kita ada iaitu Diploma Lepasan Ijazah Pengajian Tinggi,” katanya.

Tambah Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim, seramai 38 orang graduan untuk kumpulan pertama program perubatan bagi pemegang biasiswa tajaan Yayasan Sarawak turut diraikan dalam istiadat konvokesyen UNIMAS ke-26 tersebut.

“Salah satu lagi perkara yang agak signifikan pada konvokesyen kali ini adalah kita juga bakal menyaksikan graduan bagi pemegang biasiswa perubatan tajaan Yayasan Sarawak yang melibatkan seramai 38 orang yang khususnya anak-anak Sarawak mengikuti pengajian program perubatan di UNIMAS sejak 2017.

“Ini adalah satu usahasama di antara UNIMAS, Yayasan Sarawak dan kerajaan Sarawak untuk menangani isu kekurangan pegawai perubatan di UNIMAS.

“Setiap tahun Yayasan Sarawak akan membantu dari segi penajaan biasiswa kepada 40 orang pelajar anak Sarawak di bawah Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan dan tahun ini adalah ‘cohort’ pertama yang akan bergraduat daripada UNIMAS,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, istiadat konvokesyen pada tahun ini juga amat signifikan dengan ulang tahun penubuhan UNIMAS yang ke-30. -EDISI UKAS

add comment