UNIFOR Komited Bantu Naik Taraf Rumah Ibadat Agama-Agama Lain

SELASA, 25 OKTOBER 2022

MIRI: Miri Buddha Meditasi Society telah menerima peruntukan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM500,000 bagi tujuan menaik taraf kemudahan bangunan kuil Buddha tersebut.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, UNIFOR ditubuhkan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat yang menganut agama-agama lain di Sarawak. 

Jelasnya, pada tahun ini UNIFOR telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi menyediakan kemudahan rumah ibadat untuk pelbagai agama di Sarawak. 

“Sebagai wakil rakyat kepada komuniti pelbagai kaum dan kepercayaan, kita harus berkhidmat untuk semua tanpa mengira latar belakang, bangsa dan ugama agar perpaduan, keharmonian, keamanan, ketenteraman, kestabilan serta konsep keluarga Sarawak dapat dikecapi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ringkas serah peruntukan naiktaraf Kuil Buddha kepada Miri Buddha Meditasi Society di Miri Buddha Meditasi Society, Bukit Kanada Miri pada Ahad. 

Mengulas lanjut, Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata Projek Menaik Taraf Kuil Buddha ini masih pada tahap satu.

“Ketika ini projek terbabit masih pada tahap 1, kira-kira 20 peratus yang merangkumi pembinaan beberapa gabion batu sebagai asas dan kerja-kerja pembinaan perlindungan cerun.

Ujarnya lagi, apabila siap kelak bangunan kuil Buddha ini yang terletak di puncak bukit Kanada ini akan menjadi mercu tanda baharu bandaraya Miri sekali gus membantu meningkatkan ekonomi dan industri pelancongan di Miri.

Turut hadir, Ketua Persatuan Chua Soon Teng, Kapitan Chong Ah Muk, Kapitan Chai Kuen Ming, Kapitan Jee Kee Hiong, Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Jeffrey Phang Siaw Foong dan Kaunselor Yap Siew Jin.-EDISI UKAS

add comment