Bengkel Libat Urus DTTG Bantu Mantapkan Perancangan, Tadbir Urus Aktiviti Pelancongan Di Miri

RABU, 26 OKTOBER 2022

MIRI: Buat julung kalinya, Program Bengkel Libat Urus Kumpulan Kerja Pelancongan Bahagian Miri (DTTG) diadakan bagi memantapkan sektor pelancongan di Miri.

Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit berkata, menerusi program bengkel libat urus itu, ia akan membantu dan merangka perancangan serta tadbir urus aktiviti-aktiviti pelancongan di Bahagian Miri.

Katanya, DTTG Bahagian Miri merupakan sebuah platform yang menyokong dan menyelaras aktiviti pelancongan yang memerlukan kesungguhan serta komitmen semua peringkat kepimpinan.

“Sektor pelancongan merupakan salah satu sektor industri yang sangat penting di mana ia mampu menjana pertumbuhan ekonomi di Bahagian Miri.

“Oleh itu, saya berharap melalui bengkel ini semua pihak dalam Pentadbiran Bahagian Miri berganding bahu bagi memperkasakan sektor Pelancongan baik di bandar dan luar bandar serta mampu memberi sumbangan yang signifikan kepada penduduk Bahagian Miri,” katanya semasa berucap dalam program berkenaan di Kompleks Islam Sarawak di sini pada Selasa.

Ujar beliau lagi, dalam mendepani era globalisasi yang kian maju, DTTG Bahagian Miri sewajarnya bertindak sebagai sebuah platform yang mampu untuk merancang dan menyelaras keperluan serta program yang dijalankan bagi memastikan pembangunan pelancongan di Bahagian Miri berjalan seiring dengan kemajuan yang lain.

Justeru, katanya, secara tidak langsung, sosio-ekonomi setempat dapat ditingkatkan sekaligus mewujudkan Sarawak yang makmur.

Sepanjang program berlangsung, semua peserta bebas untuk memberi pandangan dan cadangan masing-masing mengikut kumpulan yang telah ditetapkan untuk memperhebat industri pelancongan di Miri.

Turut hadir dalam program ini ialah Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang.-EDISI UKAS

add comment